MAB syorkan penyertaan Royal Air Maroc bagi Oneworld

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Malaysia Airlines Bhd (MAB) berkata penyertaan syarikat penerbangan kebangsaan Morocco, Royal Air Maroc dalam perikatan syarikat penerbangan global Oneworld selaras dengan aspirasinya untuk memperkukuh perkongsian dengan anggota syarikat penerbangan itu.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kapten Izham Ismail berkata MAB melihat penyertaan terbaharu itu sebagai padanan unggul bagi syarikat untuk memperluas khidmatnya kepada pelanggan daripada rangkaiannya di Asia Pasifik.

“Kami dengan sukacita mengalu-alukan penyertaan Royal Air Maroc ke dalam keluarga Oneworld, dan teruja untuk bekerja lebih rapat dengan pasukan Royal Air Maroc,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Royal Air Maroc akan menyertai Oneworld, menambah satu lagi syarikat penerbangan terkemuka dan sedang pesat membangun di Afrika ke dalam perikatan syarikat penerbangan utama dunia itu.

Syarikat penerbangan itu dijangka menyertai Oneworld pada pertengahan 2020, apabila ia akan mula melakukan penerbangan bersama-sama beberapa jenama terbesar dan terbaik dalam perniagaan penerbangan. Anak syarikat serantaunya, Royal Air Maroc Express, pada masa yang sama akan menyertai sebagai anggota gabungan Oneworld.

Oneworld ialah perikatan beberapa syarikat penerbangan utama dunia, dengan anggotanya termasuk American Airlines, British Airways, Cathay Pacific, Finnair, Iberia, Japan Airlines, LATAM Airlines, MAB, Qantas, Qatar Airways, Royal Jordanian, S7 Airlines dan SriLankan Airlines, dan kira-kira 30 anggota bersekutu. – Bernama