Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    MAB, Visa bekerjasama tawar promosi

    KUALA LUMPUR, 25 Okt – Malaysia Airlines Bhd (MAB) hari ini memeterai satu pakatan strategik komersial degan peneraju pembayaran digital, Visa membabitkan tawaran pengembaraan menarik kepada para pelanggan menerusi program hujung minggu ‘MH Visa Weekend Deals.’

    Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat itu berkata pakatan tersebut membolehkan usaha promosi tawaran berkenaan kepada se-mua pemegang kad kredit, debit dan prabayar Visa dengan diskaun tambang peringkat global bagi pasaran terpilih.

    Pemegang kad tersebut boleh menikmati diskaun tambahan sehingga 20 peratus untuk semua tambang inklusif bagi perjalanan kelas perniagaan dan kelas ekonomi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai 26 Oktober, 2018 sehingga 13 Januari, 2019 apabila membuat tempahan melalui laman web yang dimaklumkan.

    “Kami amat teruja untuk memulakan pakatan ini yang menyaksikan Malaysia Airlines menjadi antara syarikat penerbangan pertama di rantau Asia Pasifik menjalin kerjasama dengan Visa menerusi promosi hujung ming-gu untuk pelanggan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail.

    Beliau berkata tawaran itu termasuk jumlah bagasi tanpa had dalam lingkungan 20 kilogram untuk (penerbangan) domestik dan 30 kilogram bagi penerbangan antarabangsa kelas ekonomi beserta makanan dan hiburan dalam pesawat secara percuma.

    Sementara itu, Pengurus Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon berkata Kajian Hasrat Pengembaran Global Visa menunjukkan rakyat negara ini melakukan purata 5.4 perjalanan antarabangsa sejak dua tahun lepas yang merupakan angka lebih tinggi berbanding di peringkat Asia Pasifik dan global secara purata.

    “Aktiviti pengembaraan itu sememangnya amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan kami percaya pakatan ini akan memberi manfaat besar kepada para pemegang kad Visa kerana mendapat akses kepada pelbagai tawaran menarik menerusi program ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda