MABH, Maxis kerjasama jadikan KLIA lapangan terbang pintar

KUALA LUMPUR, 20 SEPT – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) membentuk perkongsian strategik bersama Maxis Bhd bagi mewujudkan rangka kerja transformasi digital operasi lapangan terbang pintar yang juga sebahagian daripada inisiatif pendigitalan Lapangan Terbang 4.0.

Dalam kenyataan bersama pada Isnin, pengendali lapangan terbang itu berkata Maxis akan menguruskan perkhidmatan dan penyelesaian rangkaian Wi-Fi dan 5G di kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus menjadikannya sebagai lapangan terbang digital 5G pertama di negara ini.

“Menerusi kesalinghubungan terkemuka Maxis, liputan Wi-Fi di kedua-dua terminal di KLIA akan ditingkatkan untuk memberikan pengalaman lapangan terbang yang lebih baik. 

“Infrastruktur ‘Smart Wi-Fi’ (Wi-Fi Pintar) adalah penyelesaian holistik dengan keupayaan seperti analisis data yang membolehkan peruncit di lapangan terbang memanfaatkan sumber ini untuk lebih memahami tingkah laku pelanggan selain memanfaatkan pemasaran pelbagai saluran dan memastikan kelancaran pengalaman penjualan,” kata MAHB.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata penggunaan 5G akan memperkuat asas bagi membolehkan teknologi baharu serta digitalisasi operasi lapangan terbang.

“Di bawah kerjasama ini, kedua-dua pihak akan secara bersama mewujudkan kes penggunaan dan penyelesaian 5G bagi ‘Smart Travel and Tourism’ (Perjalanan dan Pelancongan Pintar) serta ‘Smart Retail’ (Peruncitan Pintar) dan Smart Security (Keselamatan Pintar).

“Kami berharap perkongsian ini dapat mentransformasi lapangan terbang MAHB kepada Lapangan Terbang Pintar,” katanya. – Bernama