MABIMS bincang rancangan strategik 5 tahun

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KHEU

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) bersidang secara maya di Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

Menurut kenyataan Sekretariat MABIMS Brunei, pertemuan secara maya itu adalah bagi menggantikan Pertemuan MABIMS ke-19 secara fizikal di Republik Indonesia pada tahun ini, disebabkan keadaan semasa berkaitan dengan pandemik COVID-19.

Ia juga merupakan kesempatan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara negara-negara anggota yang mana kali ini dihadiri oleh menteri-menteri agama baharu dari Malaysia dan Republik Indonesia sendiri, di samping obligasi dan tanggungjawab sebagai negara anggota MABIMS yang merupakan dukungan serta komitmen negara kepada program-program MABIMS.

Mengetuai Negara Brunei Darussalam pada pertemuan MABIMS tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berkata, pada pertemuan tahun ini, beliau melihat ada yang mustahak untuk diberikan perhatian iaitu Rancangan Strategik MABIMS untuk lima tahun ke hadapan (2021–2025).

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menghadiri pertemuan MABIMS secara maya.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama menteri-menteri agama Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura ketika menghadiri pertemuan MABIMS ke-19 yang diadakan secara maya.

“Ia menandakan kesediaan kita untuk melaksanakan berbagai rancangan atau program yang menepati sebagai hala tuju MABIMS dalam jangka waktu lima tahun itu.

“Dalam masa yang sama, kita juga menyedari betapa masih terdapat program dalam rancangan strategik sebelum ini, yang mana disifatkan ada yang sedang berjalan dengan jayanya walaupun sebilangan program masih memerlukan usaha yang lebih untuk dilaksanakan.

Ertinya tahun ini kita melangkah dengan dibekalkan rancangan strategik yang baharu.

“Dalam masa yang sama, kita akan meneruskan pelaksanaan program yang belum atau tidak terlaksana itu. Maka, bayangkanlah betapa lelahnya MABIMS untuk lima tahun mendatang, “ tambahnya.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin menyeru untuk sama-sama memikirkan bagaimana sebaiknya dapat menjayakan program-program baharu di samping melaksanakan program-program dalam rancangan strategik sebelum ini.

Pada tahun ini, pertemuan MABIMS dipengerusikan oleh wakil Menteri Ugama Republik Indonesia, Dr H Zainut TAUHID Sa’adi yang mana pada tahun ini Republik Indonesia adalah selaku tuan rumah.

Pertemuan tahun ini juga disertai oleh Menteri Senior Bertanggungjawab Atas Misi Khusus Urusan Islam, Kemboja, Tuan Yang Terutama Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, yang mana Kemboja selaku negara pemerhati.

Majlis diakhiri dengan serah terima tugas negara penghubung tetap daripada Negara Brunei Darussalam kepada Republik Indonesia bagi tempoh 2021 hingga 2023 dan penetapan negara tuan rumah bagi Mesyuarat SOM MABIMS ke-46 tahun 2022 kepada Malaysia dan bagi Mesyuarat SOM MABIMS ke-47 dan Pertemuan MABIMS ke-20 pada 2023 kepada Republik Singapura.