Mabuk dan pengsan dalam kokpit, juruterbang ditahan

MONTREAL, 1 Jan – Seorang juruterbang Sunwing ditahan semalam selepas didapati mabuk dalam sebuah pesawat yang akan dikemudinya keluar dari lapangan terbang Calgary di barat Kanada.

Lelaki berusia 37 tahun itu didapati mabuk sejurus selepas 7 pagi waktu tempatan dalam kokpit pesawat yang seharusnya diterbangkannya ke Cancun, Mexico.

Sebelum pesawat dijadualkan berlepas, krew dan kakitangan pesawat mendapati juruterbang berkelakuan pelik, sebelum dia pengsan dalam kokpit. Mereka kemudiannya memberitahu pihak berkuasa.

Juruterbang itu akhirnya diiringi keluar dari pesawat dan disumbat ke dalam penjara, kata polis. Pihak berkuasa mengatakan juruterbang itu mempunyai jumlah alkohol tiga kali ganda daripada yang diluluskan (0.08 peratus di Kanada) dalam tubuhnya dua jam sebelum penahanannya.

Juruterbang itu didakwa dengan tuduhan mengawal pesawat ketika dalam keadaan tidak cekap dan berhadapan dengan tuduhan-tuduhan lain. – AFP