Mabuk: lesen digantung, denda

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Mahkamah Majistret telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $2,500 dan menggantung lesen memandu seorang lelaki tempatan selama tiga tahun setelah didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga terlibat dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan.

Unit Pendakwaan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan Pengiran Mohammad Husain bin Pengiran Haji Omar, 54, ke mahkamah kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 (1) (a) iaitu memandu dalam keadaan mabuk di bawah pengaruh alkohol, Akta Kesalahan Jalan Raya Penggal 68 pada kejadian 20 Ogos 2016 sekitar jam 10:50 malam.

Daripada siasatan kes, tertuduh didapati tidak dapat mengawal kenderaan yang dipandunya disebabkan tertuduh berada di bawah pengaruh alkohol.

Hasil daripada sebutan kes, tertuduh mengaku bersalah berdasarkan kandungan alkohol dalam contoh darah tertuduh yang melebihi had ditetapkan iaitu 322.17 miligram setiap 100 mililiter hampir melebihi tiga kali ganda daripada had pengambilan alkohol yang dibenarkan.

Mahkamah memberi tempoh sehingga 30 September 2020 bagi menjelaskan denda dan jika gagal akan dihukum penjara selama dua bulan.

PPDB dengan tegas mengingatkan kepada orang ramai terutama sekali pemandu-pemandu kenderaan untuk menghindari daripada melakukan sebarang kesalahan yang melibatkan Akta Lalu Lintas seperti memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya.

Implikasi daripada perbuatan tersebut boleh sahaja mengundang kecederaan dan kecacatan terhadap diri sendiri, orang lain malah kehilangan jiwa.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh ASP Pengiran Hajah Nafiah binti Pengiran Haji Asli daripada Unit Pendakwaan Polis Bandar Seri Begawan di hadapan Majistret Mohd Marzuqi bin Sabtu.