Mabuk: Pemandu asing didenda

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman denda $1,500 atau penjara dua bulan setelah didapati bersalah bagi dakwaan memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Pihak mahkamah juga memerintahkan lesen memandu Pandi Ramanathan digantung selama tiga tahun bermula 13 Julai.

Pandi Ramanathan telah ditahan susulan daripada pemeriksaan sekatan jalan raya yang dikendalikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di Jalan Kuala Lurah pada 1 Februari lalu.

Tertuduh didakwa oleh Unit Pendakwaan Polis, PPDB di bawah Seksyen 26 (1) (b) Akta Lalu lintas Penggal 68 iaitu memandu dalam keadaan mabuk di bawah pengaruh alkohol.

PPDB dengan tegas ingin mengingatkan kepada orang ramai terutama para pemandu kenderaan untuk menghindari daripada melakukan sebarang kesalahan yang melibatkan akta lalu lintas seperti memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya.

Implikasi daripada perbuatan tersebut boleh sahaja memberi kesan kepada kecederaan diri, anggota badan, nyawa bahkan melibatkan kehilangan keluarga. Pendakwaan telah dikendalikan oleh Inspektor Hayati binti Tassim dari Unit Pendakwaan Polis di hadapan Hakim Majistret Marzuqi bin Sabtu.