Mac bulan bencana sektor penerbangan – IATA

KUALA LUMPUR, 30 APRIL – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyifatkan Mac sebagai bulan bencana kepada industri penerbangan berikutan permintaan yang diukur daripada penumpang mengikut kilometer (RPK) jatuh mendadak 52.9 peratus berbanding tahun lepas.

Ini merupakan penurunan yang terbesar dalam sejarah, mencerminkan impak daripada langkah kerajaan untuk memperlahankan penularan COVID-19, kata IATA yang mewakili 290 syarikat penerbangan yang terdiri daripada 82 peratus trafik udara global.

Bagi data pelarasan musim, jumlah penumpang global kembali kepada paras yang kali terakhir dilihat pada 2006.

Kapasiti Mac (tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) susut 36.2 peratus dan faktor muatan jatuh mendadak 21.4 mata peratusan kepada 60.6 peratus, kata IATA dalam kenyataan.

“Mac merupakan bulan bencana bagi penerbangan. Syarikat penerbangan secara progresif merasakan peningkatan impak daripada penutupan sempadan dan sekatan pergerakan berikutan COVID-19, termasuk pasaran domestik.

Pekerja China Southern memakai penutup mulut dan hidung di tengah-tengah kebimbangan wabak COVID-19 ketika membawa model pesawat di lapang terbang Daxing Beijing menjelang cuti awam 30 April. Syarikat penerbangan dan firma minyak China mengatakan mereka mengalami kerugian teruk semasa suku pertama ketika negara tersebut berdepan kemelut virus. – AFP

“Permintaan berada pada paras yang sama seperti 2006, namun kami mempunyai pesawat dan pekerja untuk menggandakannya. Lebih memburukkan apabila kita tahu keadaan semakin merosot pada April dan kebanyakan isyarat menuju ke arah pemulihan yang perlahan,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.

Permintaan penumpang antarabangsa bagi Mac 2020 menguncup 55.8 peratus berbanding Mac 2019.

Ia lebih buruk berbanding penurunan 10.3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Semua rantau merekodkan penyusutan peratusan trafik dua angka. Kapasiti merosot 42.8 peratus dan faktor muatan menjunam 18.4 mata peratusan kepada 62.5 peratus, jelas IATA.

“Syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului penurunan itu memandangkan trafik Mac jatuh 65.5 peratus berbanding tahun lepas, iaitu melebihi dua kali ganda penurunan 30.7 peratus pada Februari.

Kapasiti turun 51.4 peratus dan faktor muatan jatuh 23.4 mata peratusan kepada 57.1 peratus,” katanya.

Permintaan bagi perjalanan domestik menguncup 47.8 peratus pada Mac berbanding Mac 2019 dengan peratusan penurunan dua angka di seluruh pasaran. Ia berbanding kejatuhan 21. 3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Kapasiti susut 24.5 peratus dan faktor muatan menjunam 26.0 mata peratusan kepada 58.1 peratus.

Menurut IATA, syarikat penerbangan China terus menyaksikan penyusutan tertinggi dengan permintaan domestik jatuh 65.5 peratus pada Mac 2020 berbanding Mac 2019. Bagaimanapun, ia adalah penambahbaikan melebihi 85 peratus bagi penurunan tahun ke tahun pada Februari berikutan langkah negara untuk membuka semula penerbangan udara domestik.

Syarikat penerbangan Jepun mencatat pengurangan 55.8 peratus tahun ke tahun bagi RPK domestik walaupun tidak mengenakan sebarang sekatan keluar masuk yang meluas.

“Industri ini dalam keadaan merosot dan kita belum jatuh ke paras terendah. Namun, masanya akan tiba tidak lama lagi, saya harap – apabila pihak berkuasa bersedia melonggarkan sekatan pergerakan dan membuka sempadan. Adalah penting untuk kerajaan bekerjasama dengan industri pada masa ini untuk membuat persiapan menghadapinya,” kata de Juniac. – Bernama