Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    ‘Macam dalam sauna’

    Kira-kira dua dekad lalu aktres Erra Fazira pernah disolek dan menggunakan kostum khas untuk membawa watak gadis montel dalam filem Cinta Kolesterol.

    Ketika ditemu bual, Erra berkongsi betapa sengsara setiap kali memakai baju khas itu, selain perlu mengambil masa berjam-jam untuk ditata rias bagi menampakkan wajah tembam.

    Pengalaman dilalui pelakon jelita itu kini dirasai dramatis, Zara Zya yang melakonkan watak gadis berbadan gempal, Moon dalam drama bersiri untuk siaran slot Lestary, TV3 berjudul Honey-Moon.

    Bukan sahaja menempuh cabaran membawa watak komedi, malah karakter itu memerlukan kesabaran tinggi kerana terpaksa menahan panas selepas menyarung baju khas itu.

    “Bukan mudah melakonkan watak komedi. Untuk buat orang ketawa dengan lawak jenaka kita sangat susah. Paling ditakuti jika lawak jenaka kita itu tak nampak semula jadi, keterlaluan dan tampak bodoh.

    Zara Zya melakonkan watak gadis berbadan gempal, Moon dalam drama bersiri untuk siaran slot Lestary, TV3 berjudul Honey-Moon. – Agensi

    “Lagipun, komedi yang dipaparkan dalam drama ini memang lain daripada yang lain. Mujur pengarahnya, Pali Yahya banyak bagi idea. Zara ikut apa sahaja yang diarahkannya.

    “Cabaran lain yang terpaksa Zara hadapi adalah apabila terpaksa memakai baju khas ini. Di lokasi, memang produksi ada sediakan kipas khas berair untuk Zara, yang mana, kemudahan ini tak mungkin dirasai di set penggambaran lain.

    “Walaupun hendak sarung baju tidak perlukan masa lama, bahangnya seperti dalam sauna. Lebih-lebih lagi jika penggambaran dibuat di luar,” katanya kepada media.

    Berkongsi persiapan dilakukan untuk membawa watak Moon, Zara atau nama penuh, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 37, menjadikan orang bersaiz besar sebagai sumber inspirasi.

    “Watak Moon dalam drama ini bukanlah untuk mempersendakan orang berbadan gempal, tetapi lebih kepada memberi kesedaran agar tidak mempersendakan tubuh seseorang atau body shaming.

    “Moon digambarkan sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi, aktif dan ceria. Cuma, sesekali dia akan berasa rendah diri kerana memikirkan apakah ada insan yang sudi terima dirinya seadanya.

    “Kebetulan dia meminati seseorang yang tampan hingga timbul anggapan dia tidak layak menyimpan perasaan itu.

    “Zara memang menunggu untuk berlakon dalam drama ini. Sebagai persediaan, Zara banyak memerhatikan orang sekeliling, terutama mereka yang berbadan besar.

    “Antara yang Zara jadikan sumber inspirasi adalah seorang teman Zara iatu Nana. Walaupun bertubuh gempal, dia sangat aktif dan ceria. Itulah semangat yang Zara pinjam untuk diserapkan dalam watak Moon ini,” kata pelakon berkarakter ini.

    Dalam perkembangan lain, Zara turut meluahkan kebimbangannya apabila dua drama lakonannya ditayangkan serentak di TV3.

    Selain drama Honey-Moon, lakonan Zara juga dapat dilihat menerusi drama Risik Pada Hati yang disiarkan slot Akasia.

    Mengulas lanjut perkara itu, pelakon yang namanya mula meledak menerusi drama rantaian Love You Mr Arrogant ini berkata, perasaan itu timbul kerana bimbang lakonannya dibandingkan, selain penonton jemu melihat wajah sama. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...