Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Porsche telah mempertingkatkan perubahan asas identiti produk Macan terbaharunya dengan rekaan bentuk luaran yang lebih sporty, di mana bagi barisan SUV yang berjaya, Macan GTS berada di bahagian atas rangkaiannya.
Dengan peningkatan prestasi, reka bentuk yang lebih bergaya dan konsep operasi baharu, semua varian Macan terkini didatangkan dengan kuasa yang jauh lebih besar daripada model sebelumnya.
Macan didatangkan dengan enjin turbo empat silinder yang menghasilkan 265 PS, manakala enjin bi-turbo 2.9 liter menghasilkan 380 PS pada Macan S dan 440 PS pada Macan GTS.
Untuk melihat lebih dekat kehebatan kereta mewah ini, wartawan Media Permata berkesempatan memandu uji kenderaan yang menjadi perhatian ramai sejak ia mula diperkenalkan oleh Porsche Brunei, menerusi pengimport dan pengedar sahnya QAF Eurokars Sdn Bhd, hari ini.
Pandu uji tersebut berjalan dengan lancar, selesa dan menyakinkan meskipun dalam keadaan cuaca yang hujan.
Porsche Macan baharu menampilkan bahagian dalaman yang dipertingkatkan dengan ketara melalui konsol tengah yang moden dan direka dengan sungguh elegan.
Konsep operasi baharunya, yang menggunakan permukaan sesentuh dan bukannya butang sentuhan membawa struktur yang lebih jelas ke dalam kokpit di mana ruangannya terlihat lebih kemas dan teratur.
Di samping itu, jam analog di bahagian atas papan pemuka juga termasuk sebagai standard bagi model tersebut.
Sebagai tambahan, kecekapan stereng maksimum yang merupakan suatu yang cukup penting dalam SUV sporty turut dapat dirasakan semasa mengemudi kenderaan tersebut semasa sesi pandu uji itu.
Macan baharu juga dilengkapi dengan kelengkapan bantuan pemandu, Park Assist, dengan amaran visual dan akustik di hadapan dan belakang, kini menjadi standard pada semua model Macan.
Selain itu, sistem bantuan sedia ada juga telah ditambah baik. Adaptive Cruise Control kini lebih sensitif berbanding sebelumnya dan Lane Keeping Assist menampilkan panduan lorong tengah yang dioptimumkan, Porsche Entry and Drive, cermin depan yang dihangatkan dan pemanas tambahan dengan alat kawalan jauh juga turut tersedia sebagai pilihan bagi Macan baharu tersebut.
Bagi mereka yang berminat dan ingin mengetahui lanjut mengenai Porsche Macan terbaharu, mereka bolehlah mengunjungi Bilik Pameran Porsche Centre Brunei di Beribi.