Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Porsche Brunei pada hari ini telah memperkenalkan Macan T yang tangkas dan eksklusif, tambahan terbaharu kepada kepopularan barisan model SUV kompak.
Macan T ialah kereta sport empat pintu pertama yang mempunyai nama istimewa T, membawa maksud Touring, yang sebelum ini merupakan simpanan model 911 dan 718.
“Lebih tertumpu pada prestasi sambil mengekalkan DNA kemewahan dan keselesaannya, Macan T adalah tambahan yang hebat kepada barisan model terbaharu.
“Model Macan sangat popular dengan peminat Porsche di Brunei, sejak pelancaran pasaran pada 2014 dan dengan pengenalan Macan T baharu, kami berharap ia akan menarik minat lebih ramai pelanggan di sini,” kata Pengurus Besar Porsche Brunei, Lahiru De Silva.
Ciri-ciri model baharu termasuk huruf T yang melambangkan bentuk unik pemanduan dinamik di Porsche sejak tahun 1960an, diperoleh daripada model yang menawarkan pengalaman pemanduan boleh dipercayai hasil daripada penalaan yang tepat, peralatan eksklusif serta enjin yang cekap.
Selaras dengan semangat Porsche 911 T dari tahun 1968, Macan T menampilkan rekaan dinamik dan enjin turbo dua liter yang ringan, digabungkan dengan reka bentuk atletik dan rangkaian peralatan standard yang sesuai untuk gaya pemanduan sport.
Enjin turbo dua liter empat silinder Macan T menggabungkan ciri-ciri ketangkasan dan reka bentuk yang kompak yang menawarkan keseimbangan berat dan prestasi yang ideal.
Macan T adalah satu-satunya model Porsche yang menampilkan suspensi keluli dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) sebagai ciri-ciri standard, digabungkan dengan badan yang diturunkan sebanyak 15mm.
Bar anti-roll pada gandar hadapan adalah lebih tegar dan penalaan casis kereta telah dioptimumkan untuk mewujudkan suspensi yang sempurna untuk kenderaan dan sistem kuasa, sekali gus menghasilkan pengendalian yang cekap dan tangkas.
Manakala elemen reka bentuk yang dicat dengan warna Agate Grey Metallic di bahagian hadapan, tepi dan belakang Macan T membezakan kenderaan itu daripada model lain dalam siri tersebut.
Warna kontras eksklusif boleh dilihat pada kemasan hadapan yang dicat, cermin luaran, side blade, spoiler bumbung dan logo di bahagian belakang.
Sementara itu, bahagian dalam Macan T mempunyai ciri-cirinya tersendiri. Tempat duduk sport laras elektrik standard menampilkan upholsteri eksklusif kulit hitam.
Bahagian tengah tempat duduk hadapan dan luaran tempat duduk belakang pula dihiasi dengan corak Sport-Tex Stripe dan sandaran kepala hadapan masing-masing mempunyai crest Porsche yang timbul.
Selain itu, peralatan standard juga datang bersama stereng sport GT pelbagai fungsi dan jam randik Sport Chrono di bahagian atas papan pemuka.
Ciri-ciri pilihan lain termasuk stereng sport GT pelbagai fungsi dalam Race-Tex dengan kemasan karbon dan ioniser.
Macan T juga memiliki elemen baharu model yang dinaik taraf pada musim panas 2021, seperti konsol tengah baharu dengan permukaan yang kelihatan seperti kaca yang canggih dan permukaan sensitif sentuhan, serta sistem rangkaian penuh Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sentuh 10.9 inci dan pengemudian dalam talian.