Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    MACEOS gesa M’sia buka semula sempadan negara

    KUALA LUMPUR, 14 FEB – Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) hari ini menggesa kerajaan untuk mempertimbang syor Majlis Permulihan Negara (MPN) bagi membuka sempadan negara seawal 1 Mac depan yang menjadi langkah ke arah pemulihan ekonomi.

    Presidennya Francis Teo berkata ini akan membolehkan pengembara antarabangsa memasuki Malaysia tanpa perlu menjalani kuarantin (dan pada masa sama mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan keselamatan serta melindungi orang ramai) yang dapat merancakkan semula acara perniagaan selain mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat.

    Menurutnya, MACEOS juga berharap dapat bekerjasama erat dengan pihak berkuasa untuk mewujudkan langkah-langkah lebih ketat bagi memastikan kemasukan yang tidak rumit dan penginapan sewajarnya untuk pengembara bagi menghadiri acara perniagaan.

    “Kalangan ahli-ahli kami telah mengikuti rapat perkembangan di destinasi acara perniagaan lain yang telah membuka semula operasi terbabit.

    “Kami juga dapat mengemukakan saranan berkaitan amalan terbaik untuk mewujudkan satu rangka kerja menyeluruh prosedur operasi standard (SOP) untuk industri acara perniagaan dalam norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Teo turut menyuarakan keyakinannya bahawa Malaysia dan komuniti acara perniagaan telah bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung asing berikutan pelaksanaan program suntikan vaksinasi oleh kerajaan selain aspek SOP di semua sektor. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...