Macro Kiosk-Silverlake perkasakan perbankan digital

KUALA LUMPUR, 18 JUN – Macro Kiosk Bhd bekerjasama dengan Silverlake Mobility Ecosystem Sdn Bhd untuk memperkasakan industri perbankan digital yang pesat membangun di rantau Asia Pasifik.

Jalinan di antara Macro Kiosk dengan Silverlake itu akan mewujudkan ekosistem rakan kongsi yang kukuh di seluruh teknologi dalam bidang kepakaran masing-masing, yang akan membolehkan bank maya memanfaatkan penyelesaian canggih untuk menerajui persaingan selain memperluas kedudukan mereka dalam landskap perbankan digital.

Sebagai syarikat teknologi digital terkemuka Asia, tumpuan utama Macro Kiosk adalah dalam bidang komunikasi, pengesahan, libat urus dan pembayaran menerusi penyelesaian BOLD yang dibangunkannya yang boleh skala, selamat dan amat boleh suai.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Macro Kiosk, Datuk Henry Goh berkata pihaknya mengupayakan lebih 40 institusi kewangan di 14 negara di seluruh Asia Pasifik.

“Penyelesaian BOLD kami berciri sedia untuk masa depan bagi memenuhi permintaan bank-bank maya, malah bersama-sama Silverlake, kami yakin dapat menyediakan akses berguna, cekap dan mudah untuk pengguna perbankan digital,” katanya dalam kenyataan itu. – Bernama