Macron adakan kunjungan simbolik ke Britain

PARIS, 18 JUN – Presiden Perancis, Emmanuel Macron melawat Britain hari ini untuk berunding bersama Perdana Menteri Boris Johnson, satu kunjungan simbolik dan lawatan luar negara pertama beliau sejak pandemik COVID-19 bermula.

Lawatan Macron itu menandakan ulang tahun ke-80 sejak pemimpin era perang, Charles de Gaulle memberikan ucapan terkenal beliau di London, menyeru tentera Perancis untuk tidak menyerah kalah kepada tentera Nazi.

Imbasan terhadap ucapan legenda Gaulle yang disampaikan pada 18 Jun 1940 dari studio BBC itu akan membolehkan Macron menggariskan kepentingan hubungan Anglo-Perancis selepas Brexit.

Di sebalik simbolik bersejarah berkenaan, pertemuan Macron di 10 Jalan Downing bersama Johnson turut memfokus kepada usaha memeterai kata sepakat berhubung pengunduran Brexit dari Kesatuan Eropah (EU).

Britain yang meninggalkan EU pada Januari, sedang mengadakan rundingan perjanjian perdagangan bagi mentadbir hubungan selepas 31 Disember, apabila ia berhenti mematuhi peraturan yang ditetapkan EU.

Macron beberapa kali sebelum ini melahirkan rasa tidak sabar dengan proses yang digariskan Brexit.

Dalam rundingan yang sedikit tegang itu, Menteri Luar Perancis, Jean Yves Le Drian menerusi wawancara bersama akhbar harian La Croix berkata, beliau masih tidak menganggap senario berkenaan tidak berjaya.

Katanya, United Kingdom mungkin masih belum menyedari sepenuhnya kesan pengunduran mereka. – AFP

Emmanuel Macron (kiri) bercakap kepada Jeneral Christian Baptiste semasa lawatan ke muzium ‘Ordre de la Liberation’ di Suresnes, barat Paris kelmarin. – AFP