Macron adakan lawatan kedua ke Lubnan

BEIRUT, 1 SEPT – Presiden Perancis Emmanuel Macron tiba di Beirut, Lubnan pada petang kelmarin, sempena lawatan keduanya ke negara itu dalam masa kurang sebulan selepas peristiwa letupan besar yang melanda Pelabuhan Beirut 4 Ogos lalu, lapor agensi berita Xinhua memetik saluran televisyen al-Jadeed.

Ujar Macron, lawatan itu bertujuan untuk meninjau situasi politik Lubnan dan mengedarkan bantuan kemanusiaan di samping menyertai sambutan seratus tahun Greater Lubnan.

Beliau mendesak Lubnan untuk memerangi rasuah, mengadakan pembaharuan sektor tenaga elektrik dan menangani masalah di sektor perbankan.

“Hanya dengan cara itu, masyarakat antarabangsa akan bersedia menyokong Lubnan,” kata Macron.

Pada hari ini, Macron dijadual bertemu dengan pegawai dan perwakilan masyarakat awam dan badan bukan kerajaan Lubnan.

Kali terakhir Macron mengunjungi Lubnan adalah dua hari selepas insiden letupan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 190 orang dan mencederakan kira-kira 6,500 yang lain. – Bernama

Presiden Perancis Emmanuel Macron (kiri) bertemu dengan Presiden Lubnan Michel Aoun di istana presiden Baabda, timur ibu negara Lubnan, Beirut, kelmarin. – AFP