Macron akan umum pelan ‘penyelamat’ industri automotif

PARIS, 26 MEI – Presiden Perancis Emmanuel Macron akan mengumumkan hari ini langkah baharu untuk menyelamatkan industri automotif negara itu, yang terjejas akibat perintah berkurung koronavirus yang menyebabkan kemerosotan.

Macron memberitahu menerusi Twitter bahawa bantuan kerajaan untuk industri automotif kebangsaan, yang termasuk jenama seperti Peugeot-Citreon dan Renault dan pembekal bahagian alat ganti, akan meningkat ‘secara besar-besaran’.

“Ia sebahagian dari ekonomi kita, beribu-ribu pekerjaan,” kata beliau.

Macron mengadakan perjumpaan dengan pengeluar kereta dan persatuan di istana presiden di Elysee hari ini. Beliau kemudian akan mengadakan lawatan ke pembekal Valero, yang membuat peralatan untuk kereta elektronik, di kilangnya di Etaples, di Utara Perancis, di mana beliau akan memperincikan rancangan penyelamat.

Isu ini sensitif secara politik, kerana Perancis bangga dengan industri automotifnya, yang memberikan pekerjaan kepada 400,000 orang di negara itu dan merupakan sebahagian besar dari sektor pembuatannya. Kerajaan mahu pembuat kereta mengembangkan produk inovatif di Perancis dan mengekalkan pekerjaan di negara ini.

Menteri Kewangan, Bruno Le Maire berkata kelmarin bahawa pembuat kereta mesti komited untuk mengembalikan pembuatan ke Perancis sebagai pertukaran untuk langkah-langkah sokongan.

Bantuan itu dijangkakan termasuk subsidi kerajaan untuk pengguna membeli kereta yang menggunakan bateri dan insentif lain untuk orang meninggalkan kereta lama dan membeli kereta modal pelepasan emisi yang lebih rendah. Rancangan untuk menyokong industri dibuat pada masa yang penting untuk pembuat kereta Renault. – AP

Para pekerja giat memasang peralatan kereta yang menggunakan bateri di kilang Renault, Perancis. Emmanuel Macron akan mengumumkan langkah baharu untuk menyelamatkan industri automotif negara itu, yang terjejas akibat perintah berkurung koronavirus yang menyebabkan kemerosotan. – AFP