Macron dijangka tangani isu bantahan

PARIS, 26 Nov – Presiden Perancis, Emmanuel Macron bakal membuat kenyataan pada negaranya esok susulan bantahan yang berterusan, kadangkala ganas, mengenai cukai minyak yang bertukar menjadi satu pergerakan menentang dasarnya pada perdagangan dan mesra alam sekitar.

Paris menjadi saksi pertempuran antara polis dan para penunjuk perasaan hujung minggu lepas di Champs–Elysees, dia mana pagar sekatan dibakar, jendela kedai mewah dipecahkan dan lampu trafik dicabut. Kira-kira 30 orang cedera dan 101 yang lain diberkas, menurut polis.

Kerajaan menyalahkan sebahagian besar keganasan itu ke atas sejumlah kecil aktivis, yang membayangi kira-kira 8,000 pembantah, memakai ves berwarna kuning sebagai simbol bantahan selama seminggu itu.

Menteri Ekonomi, Bruno Le Maire, mengakui bahawa krisis ketika ini jauh melebihi mengenai persoalan minyak, dengan menambah ia adalah penting agar ‘kerja dibayar sebaiknya’ untuk meningkatkan taraf kehidupan.

“Sudah tiba masanya mendengar luahan penduduk Perancis,” katanya di televisyen BFM, mencadangkan Macron akan mengadakan ‘perbahasan akar umbi’ di seluruh negara mengenai dasar kerajaan.

Istana Presiden menyatakan bahawa Macron akan membuat ucapan pada Selasa mengenai transisi ekologi dan dijangka menimbulkan isu bantahan ketika ini. Para pemimpin pembangkang dengan segera menyatakan bantahan itu telah memenangi sokongan besar.

“Apabila satu pergerakan disokong oleh satu pertiga daripada penduduk Perancis, anda perlu memberikan jawapan, anda tidak boleh mengetepikan mereka sebagai sekumpulan samseng,” kata pemimpin Parti Sosialis, Olivier Faure, kepada akhbar Le Parisien. – AFP

Keadaan pagar sekatan yang dirosakkan oleh pembantah ves kuning di Champs-Elysees pada Ahad lalu. Macron dijangka menimbulkan isu tersebut dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara. – AFP