VILLEPINTE, PERANCIS, 13 JUN – Presiden Perancis, Emmanuel Macron kelmarin menggesa bagi meningkatkan belanjawan pertahanan berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan mengatakan Perancis kini berada di landasan ‘perang ekonomi’.
Bercakap di Eurosatory, sebuah pameran industri senjata, Macron berkata, Eropah memerlukan “industri pertahanan yang lebih besar” untuk mengelak daripada bergantung kepada pembekal di tempat lain bagi keperluan peralatannya.
Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari lalu, Perancis telah memasuki fasa ekonomi perang. Macron juga berkata, beliau telah meminta tindakan dari kementerian pertahanan dan ketua kakitangan angkatan tentera untuk menyesuaikan rangka kerja rancangan perbelanjaan perta-hanan enam tahun yang berlangsung ke tahun 2025 kepada situasi geopolitik baharu, bagi “memadankan cara dengan ancaman”.
Malah sebelum peperangan di Ukraine, perbelanjaan ketenteraan Perancis telah meningkat secara beransur-ansur sejak Macron berkuasa pada 2017 bagi mencapai 41 bilion euro tahun ini, dan kini dijadualkan mencecah 50 bilion euro pada 2025.
“Kami tidak menunggu perubahan strategik untuk melabur semula,” kata Macron, tetapi perang Rusia telah mewujudkan “keperluan tambahan untuk bergerak lebih pantas dan menjadi lebih kuat pada kos yang lebih rendah”. – AFP