PARIS, 24 Mei – Presiden Perancis Emmanuel Macron semalam menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dan pengurus-pengurus syarikat teknologi lain yang dituduh mengambil data peribadi sementara mengelak cukai, supaya menggunakan pengaruh mereka bagi kebaikan sejagat.
Kira-kira 60 orang pemimpin industri, termasuklah Zuckerberg, CEO Uber, Dara Khosrowshahi dan pengurus IBM, Ginni Rometty ke Paris bagi rundingan dengan pemimpin Perancis itu tentang meningkatkan kehidupan para pekerja dalam pergerakan ekonomi dan menjadi warganegara korporat yang lebih baik.
Zuckerberg tiba dari Brussels selepas dia memohon ‘maaf’ kepada para ahli penggubal undang-undang Eropah bagi pencabulan besar data para pengguna dan kegagalan Facebook untuk bertindak ke atas berita palsu. Dia dijangka berdepan tekanan berhubung dasar cukai syarikatnya, dengan Macron menerajui usaha-usaha Kesatuan Eropah (EU) supaya syarikat-syarikat besar digital menyumbang lebih kepada dana awam.
Berucap pada perhimpunan tertutup Macron berkata mereka tidak boleh menggunakan ekonomi digital tanpa memberi balik.
“Saya menjangkakan rundingan jujur dan langsung tentang usaha bagaimana untuk meningkatkan keadaan sosial, memerangi ketidaksamaan, perubahan iklim dan bersama-sama menyelesaikan masalah kolektif,” kata presiden yang berusia 40 tahun itu yang berpengetahuan dalam teknologi itu.

Uber menggunakan mesyuarat itu untuk mengumumkan bahawa ia akan menginsuranskan para pemandunya dan penghantarnya di Eropah daripada kemalangan dan sakit, satu langkah yang bertujuan meredakan kritikan terhadap keadaan pekerjaan mereka yang berbahaya.
Uber berkata insurans itu ‘bebas dan tanpa komitmen bagi lebih 150,000 rakan yang layak yang menggunakan aplikasi Uber di Eropah.’
Selepas rundingan mereka di Istana Elysee, para pengurus teknologi itu, yang disertai oleh Presiden Rwanda, Paul Kagame, pejuang ekonomi digital, telah menghadiri bengkel untuk membincangkan masa depan pekerjaan.
Facebook, berserta Goggle, Apple dan Amazon, dalam tumpuan Macron dan para pemimpin Eropah lain berhubung penggunaan negara-negara cukai rendah seperti Ireland untuk mengurangkan kadar cukai korporat mereka ke tahap nominal. – AFP