Macron lancar model TGV baharu

PARIS, 17 SEPT – Presiden Perancis Emmauel Macron hari ini melancarkan model kereta api berkelajuan tinggi lebih hijau generasi akan datang, dikenali di Perancis sebagai TGV – empat dekad selepas TGV pertama dilancarkan.

Pada majlis di stesen kereta api Gare de Lyon di Paris, Macron memuji aspek mesra alam kereta api baharu itu.

“TGV untuk dekad ini adalah mengenai inovasi,” kata Macron, menambah Perancis mesti ‘memberikan respons terhadap cabaran pergerakan dengan mengeluarkan tenaga kurang dan mempromosi bentuk tenaga baharu.’

Macron bercakap di depan model baharu TGV M skala saiz sebenar. Ia akan membawa lebih ramai penumpang – 740 berbanding dengan 600 sekarang – dan dirancang beroperasi pada 2024. Ia juga akan menggunakan kurang daripada satu perlima elektrik berbanding model sekarang, sementara mengekalkan kelajuan pada 320 kilometer sejam.

Majlis pelancaran diadakan 40 tahun selepas seorang lagi presiden Perancis, Francois Mitterrand, melancarkan projek baharunya dalam teknologi di stesen yang sama – TGV pertama, atau ‘Train a Grande Vitesse’, bermakna kereta api amat laju.

Kerajaan Macron telah memperuntukkan AS$7.6 bilion dalam pelaburan baharu pada tahun ini untuk mengembangkan landasan kereta api berkelajuan tinggi, dan penggunaan kereta api telah membentuk sebahagian daripada strategi kerajaannya untuk mengurangkan pelepasan karbon. – AP

Presiden Perancis Emmanuel Macron bercakap di depan replika saiz sebenar kereta api berkelajuan tinggi TGV di stesen Gare de Lyon, kelmarin. – AP