Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Macron presiden baru Perancis

    PARIS, 8 Mei – Emmanuel Macron menang besar dalam pilihan raya Presiden Perancis namun tumpuan akan terus beralih hari ini kepada sama ada beliau boleh mentadbir negara itu tanpa sokongan sebuah parti tradisional.

    Pada usia 39 tahun, bekas pengurus pelaburan perbankan pro-EU itu menjadi presiden termuda Perancis selepas menewaskan pemimpin sayap kanan jauh, Marine Le Pen dalam pusingan akhir pilihan raya semalam, namun beliau berhadapan satu cabaran menggusarkan untuk menggubal program dasarnya dan dalam masa yang sama cuba menyatukan sebuah negara berpecah dan lemah moralnya.

    Beliau sudah pun mengusulkan satu agenda reformasi domestik bercita-cita besar termasuklah mengurangkan perbelanjaan negara, melonggarkan undang-undang buruh, meningkatkan pendidikan di kawasan melarat dan meluaskan perlindungan baru bagi mereka yang bekerja sendiri.

    Namun beliau seorang yang tidak berpengalaman, tiada parti politik dan mesti membentuk sebuah majoriti parlimen berfungsi sepenuhnya selepas pilihan raya perundangan bulan depan.

    Terdapat keraguan mengenai keupayaan Macron untuk menang majoriti dengan calon-calon dari pergerakan En Marchenya — ‘tidak kiri atau kanan’ — sahaja bermakna beliau mungkin perlu membentuk satu pakatan.

    Macron meraikan kemenangannya di luar Muzium Louvre semalam. Manakala (gambar sisipan) penyokongnya kegembiraan meraikan kemenangannya. – AP
    Macron meraikan kemenangannya di luar Muzium Louvre semalam. Manakala (gambar sisipan) penyokongnya kegembiraan meraikan kemenangannya. – AP

    “Dalam usaha untuk kami bertindak, kami memerlukan satu majoriti dalam Perhimpunan Kebangsaan,” Setiausaha agung En Marche, Richard Ferrand memberitahu televisyen TF1, menambah bahawa hanya ‘separuh perjalanan’ baru selesai.

    Dan dalam agenda ekonominya, khususnya pelan untuk melonggarkan peraturan buruh bagi membasmi kadar pengangguran yang tinggi, kemungkinan berhadapan cabaran daripada penentang sayap kiri.

    Beliau juga mewarisi sebuah negara yang masih lagi dalam keadaan darurat susulan untaian serangan berinspirasi kumpulan Islamis semenjak 2015 yang membunuh lebih daripada 230 orang.

    “Saya akan berjuang dengan segala upaya saya terhadap perpecahan yang memperkecil-kecilkan kita,” kata Macron dalam satu ucapan serius di ibu pejabat kempennya semalam.

    Selautan penyokong yang kegembiraan mengibarkan bendera Perancis meraikan kemenangannya di luar Muzium Louvre di Paris ketika undian kemenangan mula dikira menyebelahi Macron.

    Dengan 99.9 peratus kertas undi dikira awal hari ini, Macron meraih 66.06 peratus undi dalam pilihan raya pertama pernah ditandinginya, jauh di hadapan calon nasionalis Le Pen pada 33.94 peratus. Jumlah yang turun mengundi ialah 74.62 peratus.

    Manakala pemimpin-pemimpin barat memuji keputusan selepas kekejutan undian Britain untuk meninggalkan EU dan pemilihan Donald Trump di Amerika Syarikat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda