Macron pulih simptom COVID-19

PARIS, 24 DIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron (gambar bawah) kini sudah pulih daripada simptom COVID-19, kata pejabatnya hari ini, seminggu setelah beliau diuji positif koronavirus.

Presiden itu yang dalam pengasingan diri di kediaman rasmi dekat Paris dari tempat beliau menjalankan mesyuarat jarak jauh, tidak lagi perlu dikuarantin, tambah Istana Elysee.

Macron ‘tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat ini’, menurut kenyataan itu dan ‘isolasi presiden kini boleh ditamatkan selepas tujuh hari’.

Macron masih lagi bertanggungjawab ‘atas isu-isu utama hal ehwal negara kami’ semasa pengasingan diri dan akan terus melakukannya setiap hari dan waktu, menurut kenyataan itu.

Macron yang telah diuji positif virus itu Khamis lalu menunjukkan simptom penat, batuk dan sakit otot, berjanji untuk memaklumkan mengenai kesihatannya setiap hari.

Pejabatnya melaporkan ‘tanda pemulihan’ buat pertama kali kelmarin, dalam kenyataan sebelumnya yang menyifatkan keadaan presiden berusia 43 tahun itu adalah ‘stabil’.

Pihak berkuasa Perancis bimbang tempoh cuti Krismas akan menyaksikan pertambahan jangkitan baharu, selepas jumlah kematian akibat COVID-19 di negara itu meningkat hampir 62,000 minggu ini.

Pihak berkuasa lewat kelmarin berkata hampir 15,000 kes baharu telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan 278 kematian baharu.

Kempen vaksinasi akan bermula Ahad ini, dengan pekerja kesihatan dan warga emas antara yang pertama mendapat suntikan itu, menurut kerajaan. – AFP