Macron tetap bertegas

PARIS, 27 Nov – Presiden Perancis, Emmanuel Macron dilihat mahu berdepan dengan kemarahan pembantah antikerajaan mengenai cukai minyak hari ini, dengan berkata dia terdengar kemarahan itu namun tidak akan mengubah haluannya.

Macron mengakui mengenai kesukaran isi rumah akibat meningkatnya cukai minyak tahun ini, yang mencetuskan demonstrasi dan menyekat jalan-jalan raya dalam tempoh 10 hari kebelakangan.

“Apa yang saya fikirkan dalam beberapa hari kebelakangan ini adalah kita tidak seharusnya mengubah haluan kerana ia adalah perkara yang betul dan perlu,” katanya kepada penggubal undang-undang di Paris.

Macron menerima pujian global atas ikrarnya untuk ‘menjadikan planet ini hebat sekali lagi’, namun dia berdepan dengan realiti di negara sendiri hari ini dalam membentangkan peta jalan selama 10 tahun bagi peralihan Perancis untuk tenaga bersih.

Peta jalan 10 tahun itu hadir ketika Macron berdepan dengan bantahan ‘ves kuning’ yang diadakan oleh penduduk Perancis yang marah atas peningkatan cukai minyak untuk membiaya inisiatif hijau, yang menurut Macron akan diteruskan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron (tengah) ketika menghadari pertemuan bagi membentang pelan tenaga 10 tahun dan menangani bantahan ves kuning mengenai cukai minyak. – AFP

Namun peguam bela alam sekitar juga berwaspada kerana tahun lepas kerajaan telah menarik semula komitmennya untuk mengurangkan kebergantungan Perancis pada tenaga nuklear.

Ia merupakan antara perdebatan yang menyebabkan bekas menteri alam sekitar Macron, Nicolas Hulot, meletak jawatan awal tahun ini.

“Mereka tidak mendengar saranan saya, mereka meletakkan had belanjawan,” kata Hulot melalui televisyen Perancis minggu lepas, menyatakan semula bagaimana dia menyokong lebih banyak bantuan kewangan untuk membantu penduduk menangani kos daripada mengurangkan pencemaran.

Sekiranya Macron mendengar kata, bantahan ves kuning kemungkinan besar dapat dielakkan, jelas Hulot.

Berbanding menumpukan pada bantahan ves kuning, Macron lebih fokus pada keutamaannya mengenai tenaga untuk beberapa tahun akan datang. Para pegawai sudah memberikan petanda bahawa dia akan mengumumkan penutupan baki empat loji kuasa arang Perancis, sebahagian daripada ikrarnya untuk mendapatkan 40 peratus keperluan bekalan elektrik Perancis dari sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

Namun satu persoalan yang masih menghantui adalah kebimbangan mengenai bila jangka waktu untuk penutupan beberapa reaktor nuklear tertua Perancis. – AFP