Macron: Timbul kekaburan cara China tangani virus

PARIS, 17 APRIL – Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata terdapat kekaburan mengenai bagaimana China menangani pandemik COVID-19 dan dunia tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Jangan terlalu naif untuk mengatakan bahawa China menangani wabak ini dengan baik.
“Kita tidak tahu. Jelas bahawa ada hal yang terjadi yang kita tidak ketahui,” katanya ketika diwawancara oleh Financial Times yang diterbitkan semalam. Amerika Syarikat (AS) dan Britain mengambil pendekatan lebih keras terhadap China, di mana wabak COVID-19 muncul pada hujung Disember lalu.

Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab pada sidang media hari ini, ketika ditanya mengenai hubungan masa hadapan dengan Beijing, berkata: “Kita harus mengajukan pertanyaan bagaimana hal ini boleh terjadi dan bagaimana ia dapat dihentikan lebih awal.

Raab berkata demikian bagi mewakili Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson yang sedang pulih daripada COVID-19.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sedang menyiasat asal-usul pandemik koronavirus, dengan menyatakan bahawa ia tidak menolak kemungkinan berasal daripada makmal yang menyelidik kelawar di Wuhan, China.

Saintis China menyatakan bahawa virus itu, yang sudah membunuh lebih daripada 140,000 orang di seluruh dunia, kemungkinan disebarkan kepada manusia pada akhir tahun lalu di ‘pasar basah’ Wuhan yang menyembelih haiwan eksotik yang menjadi kebimbangan pakar kesihatan awam sejak dulu lagi.

Bagaimanapun Washington Post dan Fox News, memetik sumber tanpa nama yang menyuarakan kebimbangan bahawa virus itu mungkin datang secara tidak sengaja daripada pusat penyelidikan biologi yang sensitif di bandar itu. Trump, yang ditanya mengenai teori makmal pada sidang akhbar Rabu lalu, berkata; ‘semakin banyak kita dengar cerita mengenainya’ dan AS ‘sedang melakukan siasatan yang sangat teliti’. – AFP