Madrid bangkit rampas takhta liga

MADRID, 20 SEPT – Real Madrid melonjak ke takhta La Liga selepas bangkit meledakkan dua gol dalam tempoh dua minit menentang Valencia, semalam.

Valencia hampir menang dalam aksi di Mestalla selepas Hugo Duro membolosi gawang bekas pasukannya pada separuh masa kedua tetapi Vinicius Junior berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-86 sebelum tandukan Karim Benzema pada minit ke-88 memastikan kemenangan 2-1 di tempat lawan.

Real Madrid kekal tanpa kalah setakat ini dengan menang lima kali dan seri sekali selepas enam perlawanan pertama mereka dalam semua kejohanan sejak dikendalikan Carlo Ancelotti.

“Kami tidak menang menerusi kualiti tetapi hasil semangat tinggi. Saya mempunyai pasukan muda dan saya tak boleh kata kami beraksi dengan hebat. Kami perlu perbaiki pertahanan, lebih agresif tetapi dengan semangat seperti ini kami dapat perbetulkannya,” kata Ancelotti.

Valencia yang kekal berada di tangga ketiga turut cemerlang sejak dikendalikan oleh jurulatih baharu, Jose Bordalas tetapi amat kecewa tiga mata yang hampir dalam genggaman hilang pada lewat perlawanan. – AFP

Aksi penyerang Real Madrid, Vinicius Junior semasa mengawal bola dalam perlawanan menentang Valencia CF di Stadium Mestalla, semalam. – AFP