Madrid, Gladbach berkongsi mata

MONCHENGLADBACH, JERMAN 28 OKT – Zinedine Zidane menegaskan Real Madrid berhak mendapat satu mata selepas Casemiro berjaya menjaringkan gol untuk menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir perlawanan ketika mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat 2-2 menentang Borussia Moenchengladbach, semalam.

Keputusan itu sekali gus mengelak kekalahan keempat berturut-turut kepada pasukan gergasi Sepanyol berkenaan dalam saingan Liga Juara-Juara.

Dua gol Marcus Thuram meletakkan Gladbach di depan untuk mencipta kemenangan sehingga Real kembali menemukan sentuhan untuk bangkit menerusi jaringan Karim Benzema dan Casemiro tiga minit pada masa tambahan untuk membawa pulang satu mata.

Bagaimanapun Real kekal berada di kedudukan tercorot Kumpulan B selepas kekalahan mengejut 2-3 di laman sendiri kepada Shakhtar Donetsk pada perlawanan pembukaan minggu lalu.

Skuad Zidane juga kalah kedua-dua perlawanan pusingan ke-16 musim lalu ke atas Manchester City.

“Pada saya keputusan seri ini bukan melegakan, ia keputusan yang berhak kami dapatkan.

“Kami berdepan lawan yang banyak memberikan masalah kepada kami dalam dua atau tiga serangan di lapangan, tapi kami tidak panik dan bangkit dengan perwatakan sebenar.” – AFP

Reaksi Karim Benzema ketika meraikan jaringan golnya semasa perlawanan kumpulan B Liga Juara-Juara antara Borussia Moenchengladbach dan Real Madrid semalam. – AFP