Madrid melangkah ke kelompok 16

BRUGES, BELGIUM, 12 DIS – Real Madrid menutup kempen perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas Club Brugge, kelmarin.

Madrid sudah melayakkan diri untuk pusingan kalah mati di tempat kedua dalam kumpulan A dan mempamerkan aksi kurang memberangsangkan dalam 20 minit pertama. Pasukan gergasi Sepanyol itu secara beransur-ansur mengawal perlawanan dengan jaringan gol di separuh masa kedua daripada Rodrygo, Vinicius Junior dan Luka Modric.

Dengan keputusan itu, Brugge terus mengekalkan tempat di Liga Eropah dengan berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan setelah Galatasaray mengalami kekalahan teruk 5-0 kepada Paris Saint-Germain.

Brugge mempamerkan aksi yang kuat dan mendominasi di awal permainan dengan kombinasi tekanan tinggi dan kelajuan yang baik semasa perlawanan babak pertama yang menghiburkan.

Tetapi selepas Percy Tau melihat usahanya daripada jarak dekat berjaya disekat oleh penjaga gol Madrid, Alphonse Areola, pasukan tuan rumah mengalami penyudah yang tumpul dalam keadaan hujan lebat di stadium Jan Breydel.

Madrid melakukan serangan merbahaya dan memperoleh peluang terbaik di separuh masa pertama. Melakukan gerakan yang dicipta oleh Vincius Junior, Luka Jovic mencuba nasib daripada sudut yang sukar di minit ke-16 tetapi cubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Simon Mignolet. – AP

Rodrygo meraikan kemenangan pasukannya semasa perlawanan Kumpulan A, Liga Juara-Juara di antara Brugge dan Real Madrid di stadium Jan Breydel, Bruges, Belgium. – AP