MADRID, 9 NOV – Juara 14 kali Real Madrid mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) semalam selepas menang selesa 3-0 ke atas Braga sekali gus mengekalkan rekod 100 peratus.
Brahim Diaz, Vinicius Junior dan Rodrygo Goes menjadi sasaran untuk gergasi Sepanyol itu, yang memastikan kemaraan dari Kumpulan C walaupun tanpa penjaring terbanyak yang direhatkan, Jude Bellingham.
Pemain sayap Brazil, Vinicius dan Rodrygo telah dikritik susulan kemarau gol musim ini dan kedua-duanya bertindak balas dengan penyudah cemerlang untuk kembali bangkit dengan merobek gawang lawan selepas Diaz membuka tirai jaringan.
Madrid meraih empat kemenangan dalam empat perlawanan, mendahului kumpulan dengan 12 mata di depan Napoli yang mengumpul tujuh mata selepas seri 1-1 dengan pasukan tercorot, Union Berlin.
Madrid kini mara ke peringkat kalah mati dalam 26 edisi kejohanan berturut-turut.
“Ia memberitahu saya Real Madrid melakukannya dengan lebih baik daripada pasukan lain dalam kejohanan ini kerana melepasi aksi kumpulan tidak selalunya mudah,” kata Carlo Ancelotti kepada wartawan.
“Kami sangat gembira untuk mara ke pusingan 16 terakhir, tetapi ia tidak bermakna kami ambil mudah baki dua perlawanan kerana semua aksi UCL adalah peluang untuk kami tunjukkan kemantapan pasukan.” – AFP
