Madrid terikat, Leganes tersingkir

MADRID, 20 JULAI – Juara La Liga yang baharu dinobatkan, Real Madrid tercicir dua mata buat pertama kali sejak musim La Liga kembali pada perlawanan semalam setelah mendapat keputusan seri 2-2 menentang Leganes yang tersingkir.

Leganes, yang perlu menewaskan Madrid dan berharap Celta Vigo tewas menentang kelab tercorot Espanyol, namun gagal menemukan peluang itu di Stadium Butarque.

Keputusan seri Madrid tersebut menghentikan rekod kemenangan sempurna mereka dengan 11 kemenangan dari 11 perlawanan sejak bola kembali setelah ditangguhkan akibat COVID-19, sementara Karim Benzema ketinggalan di belakang Lionel Messi dalam perebutan kasut emas La Liga.

Messi pada perlawanan baru-baru ini telah berjaya menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-0 ke atas Alaves, cukup baginya untuk meraih rekod ‘Pichichi Trophy’ ketujuhnya dan memberi momentum kepada Barcelona menjelang perlawanan pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara menentang Napoli bulan depan.

Berada di kedudukan teratas liga sebagai penjaring terbanyak, Messi telah menjaringkan 25 gol pada musim ini dan meletakkannya dengan kelebihan empat gol berbanding Benzema.

Leganes hampir menemukan peluang untuk meraih kemenangan apabila Roger Assale berjaya menyamakan kedudukan dengan baki 12 minit perlawanan untuk mencari pemenang dalam perlawanan itu. – AFP

Aksi Karim Benzema ketika merebut bola dengan Miguel Angel Guerrero dan Ibrahim Amadou dari Leganes semasa perlawanan La Liga antara Leganes dan Real Madrid di Stadium Butarque, Madrid, semalam. – AP