Madrid tewas di Shakhtar, Zidane kekal tenang

MADRID, 22 OKT – Zinedine Zidane menggesa pemainnya kekal bertenang selepas Real Madrid tewas 2-3 kepada Shakhtar Donetsk dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara semalam sekali gus merupakan kekalahan kedua berturut-turut mereka menjelang pertembungan Clasico menentang Barcelona, Ahad ini.

Juara Ukraine, Shakhtar beraksi tanpa beberapa permain utama mereka susulan jangkitan COVID-19 tetapi membuat kejutan di Stadium Alfredo Stefano selepas meledakkan tiga gol dalam tempoh 13 minit pada separuh masa pertama.

“Kami kelihatan lemah segalanya tetapi keyakinan kami tidak terjejas, itu yang paling penting,” kata Zidane.

“Kami perlu kekal tenang, ia malam yang buruk dan kami perlu mengubahnya,” katanya.

Jaringan Tete dan Manor Solomon serta jaringan sendiri oleh Raphael Varane meletakkan Shakhtar di depan sebelum rehat manakala Luka Modric dan Vinicius Junior merapatkan kedudukan pada separuh masa kedua.

Aksi pemain tengah Shakhtar Donetsk, Maycon mencabar pemain tengah Real Madrid, Casemiro semasa perlawanan kumpulan B Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Shakhtar Donetsk di Stadium Alfredo di Stefano, Valdebebas semalam. – AFP

Fede Valverde nyaris menyamakan kedudukan pada masa kecederaan tetapi jaringannya dibatalkan VAR selepas Vinicius dalam kedudukan ofsaid.

Kekalahan itu memberikan tekanan ke atas Zidane selepas tewas kepada Cadiz dalam saingan La Liga minggu lalu.

“Saya bertanggungjawab. Pada separuh masa pertama kami sangat negatif, jadi saya gagal menjalankan tugas dengan baik.

‘’Saya jurulatih, saya perlu mencari penyelesaian,” katanya.

Zidane menerima padah selepas menukar kesebelasan utama mereka menentang Cadiz dan menukar kesebelasan utamanya lagi, mungkin untuk persediaan pertembungan di Camp Nou hujung minggu ini.

Toni Kroos dan Karim Benzema kedua-duanya di bangku simpanan dan masuk di separuh masa kedua.

Madrid kini tewas tujuh daripada lapan perlawanan terakhir mereka di Liga Juara-Juara tanpa Ramos, yang dijangka akan kembali menentang Barca. – AFP