Madrid tumbang di Stamford Bridge, Chelsea ke final

LONDON, 6 MEI – Chelsea bakal bertemu Manchester City dalam peringkat akhir Liga Juara-Juara selepas gol hasil Timo Werner dan Mason Mount menundukkan Real Madrid 2-0 dalam persembahan dominan kelmarin untuk melengkapkan kemenangan agregat 3-1 di Stamford Bridge.

The Blues sepatutnya memenangi perlawanan dengan keputusan yang lebih meyakinkan selepas mereka berjaya menguasai perlawanan menentang pasukan pelawat yang keletihan pada separuh masa kedua.

Walau bagaimanapun, Werner menanduk masuk bola ke gawang pada minit ke-28 setelah percubaan Kai Havertz terdahulu terkena tiang dan Mount berjaya menyumbat gol lima minit sebelum masa sebenar tamat, jaringan tersebut sudah cukup untuk mengesahkan tempat mereka di Istanbul pada 29 Mei nanti.

“Tidak pernah hilang tumpuan, fokus dan tenaga positif di atas padang – ia adalah persembahan yang hebat dan mereka layak memenanginya,” kata pengurus Chelsea, Thomas Tucel, yang mengubah nasib Chelsea musim ini sejak menggantikan Frank Lampard pada Januari.

Chelsea dimiliki oleh bilionair Rusia, Roman Abramovich, di mana Chelsea berbelanja sebanyak 220 juta pound pada musim panas lalu dan kini membuahkan hasil dengan aksi Liga Juara-Juara di peringkat akhir kali pertama sejak mereka menjulang trofi sulung pada 2012.

“Mereka tidak pernah hilang fokus dahagakan kemenangan, keinginan untuk bertahan,” tambah Tuchel. “Pada separuh masa kedua, kami bermain dengan lebih baik untuk bertahan dan ia adalah persembahan luar biasa.

“Kami mampu menjaringkan lebih banyak gol pada awal perlawanan dan lebih selamat, tetapi tiada masa untuk mengkritik ketika ini.

“Pencapaian yang luar biasa dan tahniah buat pasukan.”

Pengurus Madrid, Zinedine Zidane mengalu-alukan kepulangan ketua pasukan Sergio Ramos buat kali pertama dalam masa enam minggu, sementara Eden Hazard diturunkan dalam kepulangannya ke Stamford Bridge. – AFP

Aksi penyerang Chelsea, Timo Werner menanduk masuk bola ke gawang semasa pertemuan menentang Real Madrid, semalam. – AP