Maduro hilang kuasa tentera

CARACAS, 10 Feb – Seorang kolonel tentera Venezuela, yang merupakan doktor tentera, telah melucutkan kesetiaannya kepada Presiden Nicolas Maduro, sebaliknya menyokong pemimpin pembangkang Juan Guaido.

“Sembilan puluh peratus daripada kami dalam angkatan bersenjata berasa tidak puas hati,” kata Kolonel Ruben Paz Jimenez dalam satu video yang disiarkan semalam. “Kami sedang digunakan untuk mengekalkan kuasa mereka.”

Beliau menggesa rakan tenteranya supaya membantu untuk membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Venezuela. Penghantaran bantuan Amerika Syarikat (AS) buat masa sekarang adalah di Cucuta, Colombia, di sempadan.

Maduro telah berjanji akan menghalang bantuan daripada masuk, melabelnya petanda serangan AS.

Minggu lalu, Jeneral Tentera Udara, Francisco Yanez juga menggugurkan kesetiaannya kepada Maduro. Sokongan tentera adalah penting untuk mempengaruhi kuasa di Venezuela.

Pemangku presiden Venezuela Guaido pada Jumaat enggan mengetepikan kemungkinan membenarkan campur tangan AS untuk membantu memaksa Presiden Nicolas Maduro melucutkan kuasanya dan meredakan krisis kemanusiaan.

Pemimpin pembangkang itu melancarkan satu usaha untuk menyingkir Maduro pada bulan lalu, mengisytiharkan dirinya presiden sementara, satu tindakan yang diiktiraf oleh AS dan kira-kira 50 buah negara lain, termasuk 20 dari Kesatuan Eropah.

Di bawah pemerintahan Maduro, ekonomi Venezuela yang kaya minyak itu telah runtuh, menyebabkan negara dibelenggu inflasi melampau, kemelesetan dan kekurangan keperluan asas seperti makanan dan ubat. – AFP