Maduro masih boleh jatuh – Figuera

WASHINGTON, 25 JUN – Bekas ketua perisik Venezuela, Cristopher Figuera, yang melarikan diri dari negara setelah menyokong pemberontakan yang gagal ke atas rejim Presiden Nicolas Maduro pada April, telah memberitahu akhbar Washington Post bahawa rejim itu masih boleh jatuh.

“Saya bangga dengan apa yang telah saya lakukan,” kata beliau dalam satu temu bual yang disiarkan dalam talian lewat semalam. “Untuk sekarang, rejim telah mendahului kami. Namun keadaan itu boleh berubah.”

Pembelot paling terkenal ke atas rejim Maduro, Figuera dipecat selepas menyokong pemberontakan pada 30 April oleh pemimpin pembangkang Juan Guaido dan menghabiskan dua bulan bersembunyi di Colombia sebelum ketibaannya di Amerika Syarikat semalam, menurut Post.

Venezuela dibelenggu krisis ekonomi dan politik di antara Maduro dan Guaido, yang mengisytiharkan dirinya presiden sementara pada awal tahun ini, menerima pengiktirafan dari AS dan lebih daripada 50 buah negara lain.

Maduro, dipilih semula pada tahun lalu dalam pilihan raya yang dilihat sebagai dimanipulasi, setakat ini berjaya mendapat sokongan daripada tentera berpengaruh.

Bekas ketua keselamatan untuk mendiang presiden Hugo Chavez, Figuera memberitahu akhbar bahawa ahli keluarga Maduro dan kerajaannya terbabit dalam pengubahan wang dan rasuah, dan mendakwa sel Hezbollah dibenarkan beroperasi di Venezuela dan mengumpul wang. – AFP