MAEPS hanya tempatkan pendatang tanpa izin

PUTRAJAYA 25 MEI –  Pusat kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) selepas ini hanya akan menempatkan pendatang tanpa izin yang dikesan positif COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata rakyat tempatan yang dikesan positif virus itu tidak lagi ditempatkan di MAEPS malah mereka yang dikuarantin di pusat tersebut sebelum ini telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh mulai semalam.

Bercakap di sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini, Ismail Sabri berkata beliau melawat pusat itu pagi tadi dan kerja-kerja memasang kawat berduri dilihat telah dimulakan selain jumlah anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia semakin ramai.

Beliau berkata kawalan ketat sedemikian terpaksa dilaksanakan memandangkan terdapat kekhuatiran pendatang tanpa izin terbabit akan mengambil kesempatan melarikan diri ketika dikuarantin disebabkan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap. – Bernama

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama