COPENHAGEN, 13 OKT – Syarikat perkapalan gergasi Denmark, Maersk, hari ini mengumumkan akan memberhentikan kira-kira 2,000 pekerja sebagai sebahagian daripada rancangan penstrukturan semula, walaupun ia berkata syarikat itu bernasib baik kerana tidak terlalu terjejas penularan wabak koronavirus.
Rancangan penstrukturan semula pada awalnya diumumkan pada bulan September yang merangkumi lautan serta logistik dan perkhidmatan syarikat. AP Moller-Maersk, sebuah syarikat perkapalan terbesar di dunia, telah menumpukan semula aktiviti pengangkutannya sejak 2017 dan mengatakan angka awal menunjukkan suku ketiga yang lebih baik daripada yang dijangkakan untuk tahun ini.
Pendapatan untuk suku tersebut dilaporkan bernilai AS$9.9 bilion (8.4 bilion euro), penurunan satu peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya, walaupun berdepan dengan kesan wabak global.
“Kadar pemulihan berlaku lebih cepat daripada apa yang dijangkakan, kos kami tetap terkawal dengan baik, tarif pengiriman meningkat tatkala permintaan semakin kukuh dan kami meningkatkan pendapatan dengan cepat di logistik. – AFP