MAFI bangun industri perikanan tuna secara mapan

LABUAN, 21 NOV – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membangunkan industri perikanan tuna Malaysia dengan penglibatan aktif pemain industri perikanan laut dalam.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 telah dirangka dalam merealisasikan hasrat kementerian itu.

“Industri perikanan tuna ini mempunyai potensi yang besar sebagai sumber kekayaan baharu negara untuk dikembangkan di Sabah dan Labuan selaras dengan transformasi serta pembangunan sektor perikanan yang menyeluruh di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0,” katanya pada majlis libat urus pengurusan tertinggi bersama pemain industri tuna di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau turut menyeru agar pelabur dan pemain industri sedia ada membuka kilang serta mengusahakan kapal tuna selain menjadikan Labuan sebagai hab untuk pasaran ke Semenanjung Malaysia dan luar negara.

“Kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta amat penting dalam memastikan pembangunan industri Tuna terus berkembang di negara ini serta dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

Datuk Seri Ronald Kiandee (empat, kanan) menyaksikan pemprosesan ikan tuna pada sesi lawatan ke Kilang Labuan Food Industries Sdn Bhd. – Bernama

Ronald juga berkata manfaat yang bakal diperoleh tidak hanya terhad kepada aktiviti penangkapan ikan tuna sahaja malah pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan dan pemprosesan.

Beliau berkata Malaysia harus mengambil peluang sebagai ahli Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) untuk menghantar lebih banyak kapal perikanan menangkap ikan di lautan itu dan menggalakkan lebih banyak kapal tuna mendarat di negara ini.

“Kerajaan juga berhasrat menyertai satu lagi organisasi pengurusan perikanan antarabangsa yang menguruskan sumber tuna di sebelah Lautan Pasifik iaitu Suruhanjaya Perikanan Pasifik Barat dan Tengah (WCPFC) selain IOTC yang telah Malaysia sertai sebelum ini iaitu sejak 1998,” katanya.

Ronald berkata langkah itu akan membolehkan Malaysia merancakkan industri tuna dan perikanan laut dalam.

Beliau berkata setakat Oktober 2021, sebanyak 20 kapal tuna iaitu 19 kapal penangkapan ikan dan sebuah vesel pengangkut telah dilesenkan serta beroperasi di Lautan Hindi.

“Kerajaan menggalakkan sehingga 74 kapal penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030 selari dengan jumlah kuota yang diperuntukkan oleh IOTC untuk beroperasi di kawasan itu. – Bernama