Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Maghribi sekali lagi membuat kejutan dalam Piala Dunia 2022 selepas berjaya menyingkirkan Sepanyol 3-0 pada perlawanan pusingan 16 terakhir, malam tadi.
Sepanyol terpaksa akur dengan kekalahan mereka apabila kedua-dua buah pasukan itu gagal menjaringkan sebarang gol sehingga meleret ke pusingan penentuan sepakan penalti.
Namun, dengan kehebatan yang dipamerkan oleh penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou yang menyelamatkan gawang daripada dibolosi sebanyak tiga kali, mereka akhirnya berjaya mara ke pusingan suku akhir.
Maghribi menjadi pasukan keempat dari benua Afrika yang melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Dunia seperti yang dilakukan oleh Cameroon pada tahun 1990, Senegal pada tahun 2002 dan Ghana pada tahun 2010.
Persoalannya, adakah Maghribi mampu membuat kejutan seterusnya semasa bertembung dengan pasukan kegemaran ramai, Portugal dalam peringkat suku akhir yang akan berlangsung pada 10 Disember depan?