Maghribi perketat pergerakan di lapan bandar

KAHERAH, 27 JULAI – Pihak berkuasa Maghribi mengumumkan larangan masuk dan keluar dari lapan bandar di negara itu berikutan peningkatan kes COVID-19, lapor agensi berita Sputnik.

Larangan di pintu masuk ke bandar Casablanca, Tangier, Tetouan, Fez, Marrakesh, Meknes, Berrechid, dan Settat bermula malam ini, menurut siaran akhbar kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan Maghribi.

“Keputusan itu dibuat berikutan peningkatan yang ketara kes COVID-19 di bandar-bandar ini dalam beberapa hari terakhir ini… dan fakta bahawa majoriti warganegara tidak mematuhi langkah berjaga-jaga, seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, menggunakan sanitasi,” kata siaran akhbar.

Keputusan itu tidak menjejaskan mereka yang sangat memerlukan perhatian perubatan dan pekerja syarikat yang telah mendapat kebenaran khas daripada pihak berkuasa tempatan. Pengangkutan barangan juga tidak dikenakan larangan. – Bernama