Sunday, January 26, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Maghribi, Portugal dan Sepanyol tuan rumah Piala Dunia 2030

    ZURICH, 12 DIS – Maghribi, Portugal dan Sepanyol diumum sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2030 oleh Kongres Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam mesyuarat luar biasa melalui sidang video kelmarin, lapor Maghreb Arabe Press (MAP).

    Pada sesi yang dipengerusikan oleh Presiden FIFA Gianni Infantino dari Zurich, anggota kongres turut meluluskan penganjuran tiga perlawanan kejohanan 2030 di Argentina, Paraguay dan Uruguay sempena ulang tahun ke-100 Piala Dunia, manakala Arab Saudi selaku tuan rumah Piala Dunia 2034.

    Ketiga-tiga pencalonan itu mendapat sokongan melalui proses undian secara ‘acclamation’ oleh 211 persekutuan anggota FIFA, yang turut mengundi secara berasingan mengenai prosedur pencalonan dan tawaran yang diterima.

    “Dalam dunia yang berpecah hari ini…, untuk mencapai kesepakatan seperti ini adalah mesej yang luar biasa.

    “Kami menghayati perpaduan. Kami menghayati keterangkuman. Kami menghayati bola sepak,” kata Infantino dalam ucapannya.

    Maghribi, Portugal dan Sepanyol diumum sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2030 oleh Kongres Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). – AP

    Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF), Fouzi Lekjaa menyampaikan penghargaan kepada anggota persekutuan FIFA kerana merealisasikan saat bersejarah ini.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada negara saya, Maghribi, bersama Portugal dan Sepanyol untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2030,” katanya dalam ucapan rakaman yang disiarkan semasa Kongres.

    Beliau menambah bahawa kepercayaan itu adalah bukti kemajuan yang dicapai, baik dalam persediaan khusus untuk acara itu mahupun dalam pembangunan keseluruhan negara di bawah visi Raja Mohammed VI.

    Buat kali pertama dalam sejarah, acara universal ini akan dianjurkan serentak di Afrika dan di benua Eropah, katanya.

    Selain itu, seorang pegawai dari auditor bebas (BDO) yang ditugaskan FIFA menyimpulkan bahawa proses pencalonan Piala Dunia 2030 dan 2034 mematuhi prinsip objektiviti, integriti dan ketelusan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda