Maghribi: tujuh remaja perempuan terbabit Daesh dihukum penjara

RABAT, 21 Julai – Tujuh remaja perempuan berusia antara 15 dan 17 tahun, dijatuhi hukuman penjara oleh sebuah mahkamah anti-keganasan Maghribi kerana didapati bersalah melakukan jenayah berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Menurut agensi berita Maghribi MAP, tertuduh pertama dijatuhi hukuman penjara lima tahun manakala tiga lagi dihukum penjara empat tahun, lapor agensi berita China Xinhua. Sementara dua lagi tertuduh menerima hukuman tiga tahun penjara dan selebihnya dipenjara dua tahun.

Kesemua tertuduh didapati bersalah “menubuhkan kumpulan untuk membuat persiapan melancarkan serangan keganasan”.

Menurut pihak berkuasa, kesemua tertuduh turut mengaku taat setia dengan Daesh. – Bernama