Magis firmino julang the reds

WOLVERHAMPTON, 24 JAN – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji ‘magis’ yang dipamerkan Roberto Firmino selepas pemain dari Brazil itu meledak gol kemenangan bagi menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Reds terus selesa di tangga teratas liga de-ngan kelebihan 16 mata.

Juara Eropah itu yang kini merekodkan 14 kemenangan berturut-turut dalam saingan liga pada awalnya dilihat sukar untuk mengekalkan rekod berkenaan selepas Raul Jimenez berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 bagi memadam gol pendahulu yang dijaringkan Jordan Henderson pada minit ke-8.

Liverpool perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Alisson Becker yang beraksi cemerlang pada babak kedua perlawanan.

Bagaimanapun, seperti mana kemenangan getir yang dilakar ketika berdepan Leicester City, Aston Villa dan Crystal Palace awal kempen musim ini, Liverpool memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka menerusi gol kemenangan yang dijaringkan Firmino ketika berbaki enam minit sebelum tamat perlawanan.

Aksi Firmino bersama Henderson ketika cuba merebut bola daripada pemain Wolverhampton, Adama Traore semasa perlawanan mereka di Stadium Molineux, Wolverhampton pada 23 Januari. – AP

Kemenangan itu meletakkan anak buah Klopp di landasan tepat bagi menamatkan kemarau 30 tahun merangkul gelaran liga. “Kamu hanya perlu mencari jalan untuk mencatat kemenangan dan mempunyai seseorang yang mampu membuat keputusan dengan sempurna. Orang itu adalah Bobby (Firmino) sekali lagi.

“Ia adalah jaringan yang menakjubkan daripada Bobby,” kata Klopp.

Liverpool yang sudah merekodkan 22 kemenangan daripada 23 perlawanan liga musim ini mempunyai baki satu perlawan di tangan ke atas Manchester City.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Wolverhampton terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi selepas pemain tengah, Mane mengalami kecederaan hamstring pada babak pertama.

“Kami tidak pasti lagi mengenai kecederaannya tetapi dia merasakan kesakitan di bahagian hamstring,” kata Klopp. – AFP