Magis Sanchez lonjak Inter ke puncak liga

MILAN, 5 MAC – Alexis Sanchez meledak dua gol pada separuh masa kedua bagi membantu Inter Milan kekal di tangga teratas liga dengan kelebihan enam mata selepas menumpaskan Parma 2-1.

Romelu Lukaku terbabit dalam kedua-dua gol berkenaan yang disumbangkan bekas rakan sepasukannya di Manchester United sekali gus membolehkan pasukan bimbingan Antonio Conte menang enam kali berturut-turut bagi saingan Serie A.

Inter jelas sekali berjaya mengambil kesempatan selepas pasukan tempat kedua AC Milan yang sebelum itu seri 1-1 ketika berdepan Udinese, manakala penyandang juara, Juventus ketinggalan empat mata di belakang Milan.

“Peningkatan sejak tahun lalu jelas kelihatan namun masih berbaki 13 perlawanan dan dalam saingan Serie A setiap perlawanan adalah seperti berperang,” kata Conte.

Sanchez yang juga pemain kelahiran Chile beraksi dalam kesebelasan utama menggantikan tempat Lautaro Martinez untuk mengetuai bahagian serangan bersama Lukaku.

“Saya rasa saya seorang jurulatih yang bersifat demokratik. Di mana saya tidak memberikan apa-apa saja kepada sesiapa saja.

“Lebih diutamakan adalah pasukan dan individu akan datang kemudian. Sanchez berada dalam prestasi terbaik, jadi sekarang Romelu dan Lautaro sedar bahawa Sanchez berada di belakang mereka.

“Saya gembira kerana anak buah saya menunjukkan kemampuan mereka,” kata Conte yang membantu Inter menduduki tempat kedua dalam pembabitan pertamanya bersama kelab berkenaan tahun lalu. – AFP

Reaksi Sanchez (jersi 7) ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya pada perlawanan menentang Parma di Stadium Ennio-Tardini, Parma, kelmarin. – AFP