Maguire bawa United ke separuh akhir Piala FA

NORWICH, 28 JUN – Manchester United mara ke separuh akhir Piala FA ketika jaringan lewat Harry Maguire pada masa tambahan memberikan kemenangan 2-1 menentang Norwich yang terpaksa bermain dengan 10 pemain pada perlawanan semalam.

Pasukan Ole Gunnar Solskjaer berhempas pulas untuk mendapatkan tempat separuh akhir Piala FA dengan jaringan Todd Cantwell memaksa mereka bermain dengan masa tambahan membatalkan jaringan awal Odion Ighalo di Stadium Carrow Road.

Pemain pertahanan Norwich, Timm Klose diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengasari Ighalo pada minit ke-89 perlawanan dan memberikan kelebihan yang memihak kepada United.

Dengan kelebihan tersebut United melakukan serangan bertubi-tubi kepada Norwich sehingga pemain pertahanan England, Maguire berjaya menemui jaringan dan mempertahankan rekod tanpa kalah mereka ke 14 perlawanan di semua pertandingan.

United, telah memenangi Piala FA sebanyak 12 kali dan yang terbaharu pada 2016, kini dalam perjalanan untuk mara ke final untuk kali kedua berturut-turut dalam tiga tahun.

Aksi Harry Maguire semasa perlawanan pusingan keenam Piala FA antara Norwich City dan Manchester United di Stadium Carrow Road di Norwich, England, semalam. Jaringan Maguire berjaya membawa pasukan United ke separuh akhir Piala FA. – AP

Tepat 114 hari selepas United memenangi perlawanan menentang Derby pada pusingan kelima pada 5 Mac lalu, Piala FA kembali semula selepas penutupannya akibat koronavirus.

Solskjaer membuat lapan perubahan dengan mengekalkan Maguire, Luke Shaw dan Bruno Fernandes dari kemenangan perlawanan Liga Perdana Inggeris pada pertengahan minggu lalu menentang Sheffield United.

United tidak bermula dengan baik pada separuh masa pertama perlawanan, mereka kelihatan lemah dan kurang bersemangat.

Walau bagaimanapun pasukan Solskjaer akhirnya bangun dari ‘tidur’ mereka setelah menemukan jaringan di minit ke-51 menerusi jaringan Ighalo.

Pemain Nigeria itu telah mencetak lima gol dalam 11 penampilan sejak dia tiba dari Shanghai Shenhua pada Januari lalu. – AFP