Mahad Islam Brunei dijadikan pusat penempatan baharu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini, Mahad Islam Brunei akan dijadikan sebagai salah satu pusat penempatan baharu, yang mana bangunan berkenaan berupaya menampung lebih 800 orang pesakit.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan lanjut bahawa penyediaan bangunan baharu di Mahad Islam Brunei itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Fasa pertama akan menampung lebih kurang 100 orang bermula malam ini atau esok manakala itu, fasa kedua dan ketiga akan dapat menampung seramai 400 ke 500 orang dan itu adalah kapasiti Mahad Islam Brunei setakat ini, jelas beliau lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menyentuh mengenai kelambatan pengambilan para pesakit untuk dihantar ke Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata, dengan bertambahnya kes, mereka perlu membuat tugas yang strategik dan menghubungi mereka yang positif dan bertanya tentang keadaan mereka.

Bagi mereka yang di peringkat 3 dan 4 akan diambil terlebih dahulu untuk dihantar ke hospital dan bagi mereka yang tidak menunjukkan simptom atau sederhana akan diarah untuk kuarantin di rumah buat sementara waktu sementara persiapan di Mahad Islam Brunei dikemas kini sepenuhnya.

Menurut beliau lagi, dengan adanya 190 kes baharu hari ini mungkin ada sedikit kelambatan dalam sehari atau dua hari. Namun pihak Kementerian Kesihatan akan berusaha sedaya upaya melaksanakan tugas mereka dengan secepat mungkin.

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menasihatkan mereka yang mengalami simptom lebih teruk supaya menghubungi talian 991 untuk mendapatkan bantuan secepat mungkin dan harus memaklumkan pihak kecemasan bahawa mereka positif COVID-19 dan di sana pihak ambulans akan mengambil langkah berjaga-jaga.

Mengenai mereka yang dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi, beliau berkata, mereka memerlukan pemantauan yang lebih rapi di mana tiga daripada 15 orang di unit itu, dalam keadaan kritikal dan selebihnya memerlukan pemantauan oksigen, rawatan dialisis dan
sebagainya.

Mengulas mengenai 51 kes yang masih belum diketahui, beliau berkata, terdapat kekeliruan daripada orang ramai bahawa 51 berkenaan merupakan kes baharu dan bukan ditambah setiap hari.

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan berjaya menemukan kluster daripada kes-kes yang belum diketahui sebelum ini.

Mengenai 790 pesakit yang aktif, sebahgian besarnya belum divaksin atau belum lengkap vaksin, manakala selebihnya telah memenuhi program vaksinasi dan hanya mengalami simptom sederhana dan mereka yang kritikal belum divaksin.