Baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Mahalini Raharja akui dia mengalami kesukaran untuk menangis apabila mahu menjayakan babak sedih dalam filem.
Walau bagaimanapun, bekas peserta Indonesian Idol ini mempunyai cara sendiri untuk dia mendalami watak sebegitu. Kata Mahalini, dia akan mengambil masa untuk mendengar lagu-lagu yang akan mengingatkan dirinya tentang kenangan bersama mendiang ibu yang meninggal dunia pada Julai 2021 akibat jangkitan COVID.
Kekasih kepada Rizky Febian ini juga mendedahkan bahawa ibunya orang yang sentiasa mahukan dia terjun ke dunia lakonan.
“Ini adalah impian ibu untuk melihat saya berlakon. Sebelum meninggal dunia dia pernah katakan bahawa mahu menonton filem lakonan saya,” ujarnya.
Sementara itu lakonan Mahalini dalam filem terbaharu berjudul Kopi Pahit mendapat pujian pengarahnya iaitu Herwin Novianto.
“Dia mudah menerima apa sahaja ilmu dan diterjemahkan dengan baik. Semua berjalan dengan sempurna dan saya amat berpuas hati,” katanya. – Agensi