Mahan Air Iran alami serangan siber

TEHRAN, 21 NOV – Syarikat penerbangan kedua terbesar Iran, Mahan Air, berkata ia mengalami serangan siber hari ini, insiden terbaharu dalam beberapa sasaran ke atas syarikat itu.

“Sistem komputer Mahan Air mengalami serangan baharu,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Ia sudah lama menjadi sasaran dalam beberapa kejadian akibat kedudukan pentingnya dalam industri penerbangan di negara tersebut.”

Kesemua penerbangannya telah dijadualkan, tambah kenyataan itu, namun laman web syarikat itu tidak beroperasi.

“Pasukan sekuriti internet telah menggagalkan serangan siber itu,” kata jurucakap Amir-Hossein Zolanvari kepada televisyen kerajaan.

Mahan Air adalah syarikat penerbangan swasta utama Iran dan kedua terbesar selepas pengangkutan nasional, Iran Air. – AFP