Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Maharaja Jepun akan hadiri istiadat pemakaman

    TOKYO, 14 SEPT – Maharaja Jepun, Naruhito dan Maharani Masako akan berangkat ke Britain bagi menghadiri istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II minggu hadapan untuk memberikan penghormatan, menurut jurucakap kerajaan hari ini.

    Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno berkata kerajaan Britain telah menghantar undangan untuk menghadiri istiadat tersebut, memandangkan hubungan erat antara keluarga diraja dari kedua-dua buah negara itu.

    Secara tradisinya, maharaja Jepun tidak akan menghadiri upacara pengebumian sama ada dari dalam atau luar negara kerana budaya kepercayaan agama Shinto yang menganggap kematian adalah tidak suci. Keputusan Naruhito untuk menghadiri istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II menunjukkan betapa penting dan eratnya hubungan antara kedua-dua buah keluarga diraja itu.

    Matsuno berkata keluarga diraja Jepun mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga diraja Britain sejak tiga generasi, termasuk nenekanda Naruhito, mendiang Maharaja Hirohito.

    Mendiang Ratu Elizabeth II pernah menjemput Naruhito untuk membuat kunjungan ke Britain sebagai destinasi terakhir lawatan luarnya selepas turun takhta pada 2019, yang ditunda disebabkan pandemik, kata Matsuno.

    Masih belum ada sebarang perancangan bagi Perdana Menteri, Fumio Kishida dan pegawai-pegawai kerajaan lainnya untuk menghadiri istiadat pemakaman itu, tambahnya. Naruhito pada Jumaat menzahirkan ‘rasa dukacita’ atas kemangkatan Ratu Elizabeth II dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui pejabat istana maharaja.

    Dalam kenyataan tersebut, Naruhito memuji mendiang ratu yang memimpin dan memberi galakkan kepada penduduk Britain dan negara-negara Komanwel serta mengabadikan usaha untuk keamanan dan kestabilan dunia. – AFP

    Maharaja Naruhito dan Permaisuri Masako semasa menghadiri majlis penyampaian hadiah di Tokyo, 13 September. Maharaja Naruhito dan permaisuri akan menghadiri istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II minggu hadapan.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...