Maharaja jepun ditabalkan

Gambar oleh Infofoto

TOKYO, 22 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi telah berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito, yang berlangsung di Imperial Palace, Tokyo.

Berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Baginda Sultan berkenan menerima warkah persilaan daripada Maharaja Naruhito pada bulan April 2019 bagi mempersilakan Baginda untuk berangkat ke Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 yang berlangsung, hari ini.

Sejurus keberangkatan tiba di Imperial Palace, Baginda Sultan dijunjung berangkat masuk ke Dewan Shunju-no-Ma bagi menyertai para tetamu khas yang lainnya.

Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun atau Sokui no Rei dimulakan dengan keberangkatan masuk Maharaja Naruhito dengan diiringi oleh The Grand Master of Ceremonies; The Grand Steward of the Imperial Household Agency dan Imperial Grand Chamberlains yang membawa Mohor Diraja dan Mohor Negara beserta peralatan diraja (Imperial Regalia) berupa sebilah pedang dan permata yang menjadi simbol kerabat diraja.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat ke Seiden-Take-No-Ma di mana Baginda telah dialu-alukan oleh KDYMM Maharaja Naruhito dan KDYMM Maharani Masako. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Suasana Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito yang berlangsung di Imperial Palace, Tokyo.

Maharaja Naruhito seterusnya bersemayam di atas Imperial Throne atau Singgahsana Takamikura diikuti dengan keberangkatan masuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharani Masako yang diiringi oleh The Vice-Grand Master of Ceremonies; The Vice Grand Chamberlain dan Chief Lady-in-waiting sebelum Baginda bersemayam di atas August Seat Throne atau Singgahsana Michodai.

Sejurus tirai kedua-dua singgahsana dibuka, Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Shinzo Abe mengadap dan berdiri di hadapan Maharaja Naruhito sebelum mengurniakan titah.
Selepas pengurniaan titah, istiadat diteruskan dengan ucapan tahniah khas disampaikan oleh TYT Shinzo Abe yang mengakhiri ucapan beliau dengan laungan banzai sebanyak tiga kali bagi meraikan istiadat pertabalan berkenaan.

Pada penghujung istiadat pertabalan, tirai Singgahsana Takamikura dan Michodai dilabuhkan bagi menandakan majlis berkenaan telah selesai.

Pada akhir majlis istiadat ini, Baginda Sultan telah berkenan berangkat meninggalkan Imperial Palace bersama tetamu-tetamu khas yang lain terdiri daripada kerabat diraja, para pemimpin negara dan kerajaan termasuk para perwakilan organisasi antarabangsa dari lebih 190 buah negara Maharaja Naruhito diputerakan pada 23 Februari 1960. Baginda merupakan putera sulung kepada Maharaja Akihito dan Maharani Michiko.

Pada usia 22 tahun, Baginda menerima Ijazah Sarjana dalam Sejarah di Universiti Gakushuin pada tahun 1982. Selepas itu, pada tahun 1983 hingga 1985, Baginda melanjutkan pengajian tinggi di Merton College, Universiti Oxford, United Kingdom.

Baginda mempunyai beberapa hobi termasuk mendaki gunung dan bermain muzik. Pada 9 Jun 1993, Maharaja Naruhito mendirikan rumah tangga bersama Maharani Masako, seorang bekas diplomat yang mendapat pendidikan di Oxford dan Harvard, United Kingdom.
Baginda berdua dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Aiko.

Pada 23 Februari 1991, Maharaja Naruhito diangkat menjadi Putera Mahkota Jepun.
Pada 1 Mei 2019, Baginda secara rasmi menaiki takhta Bunga Kekwa sebagai Maharaja Jepun yang ke-126 dalam sistem monarki tertua di dunia (sejak abad ke-7).

Dengan pemasyhuran ini, Era Heisei selama 30 tahun di bawah pemerintahan bekas Maharaja Akihito (yang kini digelar Maharaja Emeritus) telah berakhir dan bermulalah Era Reiwa yang bermaksud ‘Keharmonian yang Indah’.