Mahasiswa Thailand, Malaysia di UNISSA terima sumbangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Seramai 34 orang pelajar Thailand di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang tidak berkesempatan pulang ke tanah air pada bulan Ramadan tahun ini disebabkan ancaman COVID-19 telah menerima sumbangan daripada Kedutaan Besar Thailand di Negara Brunei Darussalam.

Sumbangan barangan keperluan itu disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul yang berkunjung ke UNISSA hari ini.

Kunjungan juga bertujuan untuk memantau perkembangan pembelajaran selain untuk memberikan sokongan moral kepada pelajar Thailand agar tidak merasa cemas dengan pandemik COVID-19 dan lebih menumpukan perhatian kepada peperiksaan yang dihadapi.

Sebelum itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam juga telah menyerahkan sumbangan berupa makanan keperluan kepada sembilan orang pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di UNISSA.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Nadia Azura Mohd Nudri.

UNISSA dalam kenyataannya, menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Besar Thailand dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia atas keprihatinan dan sokongan moral terhadap warganegara masing-masing.

Dalam waktu yang sama, UNISSA memberikan jaminan terhadap kesejahteraan dan kebajikan pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di UNISSA dan berharap pandemik COVID-19 ini bukan penghalang untuk mereka meneruskan pengajian malah akan merasa selesa menyambut Ramadan di Negara Brunei Darussalam.

Kunjungan PYT Wanthanee Viputwongsakul dan Nadia Azura telah disambut oleh pihak Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UNISSA.

PYT Wanthanee Viputwongsakul menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar Thailand di UNISSA. – Gambar serahan UNISSA.