Mahasiswa Thailand, M’sia d UBD dipeduli

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Kedutaan Besar Thailand dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah menyampaikan Pakej Prihatin kepada pelajar-pelajar Thailand dan Malaysia yang belajar di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Majlis penyampaian sumbangan berkenaan telah diadakan di The Core, UBD di mana Duta Besar Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul dan Charge d’Affaires Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Nadia Azura Mohd Nudri menyerahkan pakej-pakej yang merangkumi makanan, penutup mulut dan hidung serta pembersih tangan, kepada para pelajar dari negara masing-masing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, terdapat seramai 16 pelajar Thailand dan tiga pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di UBD. Kedutaan dan suruhanjaya tinggi berkenaan memuji usaha-usaha universiti dalam menjaga kebajikan pelajar semasa pandemik COVID-19 ini.

Dalam pada itu, UBD pula mengucapkan terima kasih dan menghargai kebimbangan dan keprihatinan kor diplomatik berkenaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar-pelajar tersebut.

UBD juga responsif kepada para pelajar antarabangsa yang pulang ke negara mereka, menjaga mereka yang memerlukan perubatan serta menyediakan makanan percuma kepada mereka yang kekal di Brunei.

 

ATAS & BAWAH: Kedutaan Besar Thailand, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam ketika menyampaikan Pakej Prihatin kepada para pelajar berkenaan.